Friday 24 January 2020

Betulkan Niat Belajar.

Berdasarkan tajuk yang aku tulis. Itulah nasihat utama yang diberikan oleh sheikh-sheikh kami di kuliah Syariah pada minggu awal semester. Bukan semua tapi kebanyakkan sheikh akan nasihat anak muridnya tentang niat belajar. Niat yang sebenar adalah sumber utama atau tunjang sepanjang perbuatan kita dalam kehidupan seharian. Niat yang rosak akan menghasilkan natijah yang rosak dan begitu juga niat yang baik menghasilkan natijah yang baik. 

Belajar. Ia bukan satu perbuatan yang sia-sia. Tidak betul jika orang mengatakan belajar itu menghabiskan duit malah terpaksa berhutang lagi di sini sana. Lebih-lebih lagi pendidikan kita di Malaysia. Sedikit atau banyak kita dibebankan dengan kos. Tetapi, pemahaman sedemikian patut dibetulkan. Belajar satu proses pembangunan diri, sahsiah dan akhlak, hasil yang lebih baik, dan sudah tentu ia membezakan antara orang berilmu dengan orang yang jahil.

Orang belajar bertuankan ilmu dan tempat bersandar yang tepat tanpa tersasar jauh. Beza si jahil, dia akan bertuankan nafsu dan fikiran yang terhad. Apa yang dia berasa betul, itulah yang akan dia lakukan. Oleh sebab itulah, guruku selalu berpesan. Apakah tujuan kamu belajar? Datang jauh meninggalkan tempat tinggal. Lebih-lebih lagi yang berada luar negara. Masa yang dikorbankan. Jiwa raga yang sering mengeluh kesepian tatkala berjuahan dengan keluarga. Yang sudah berkahwin apatah lagi.

Kembali kepada nasihat guruku tentang niat belajar. Kata guruku, "ilmu itu rasa takut, rasa takut kepada Allah. Belajar untuk mengenal Tuhan. Apa yang Dia suruh, apa yang Dia larang. Bagaimana nak tingkatkan rasa cinta kepadaNya? Bagaimana hendak beramal dengan apa yang disuruh?...". Poin utama ialah belajar itu untuk menanam rasa takut kepada Pencipta. Hatta kalau kita belajar setinggi langit pun, tanpa rasa takut kepada Tuhan. Apa erti ilmu? Tiada mamfaat sedikit pun kepada tuan badan. Sebagai contoh seseorang itu tahu yang zina itu haram tetapi rasa takut tidak ada dalam diri, lalu terjebak dalam dosa itu sedangkan dia tahu besarnya dosa zina. 

Apa orang belajar untuk mengejar pointer 5.0, 4.0 dan sebagainya. Hendaknya paling terbaik. Tidak salah pun untuk mendapatkan pointer tersebut. Aku sendiri tahu untuk dapat yang terbaik bukan mudah tetapi kesan daripada ilmu itu mahu dilihat juga. Paling tidak jika kita dapat yang terbaik, kemungkinan dapatlah kerja yang bagus, tetapi akhlak kelaut dek silapnya dalam menuntut ilmu. Tiada penghayatan. Tiada tujuan untuk yang hakiki iaitu akhirat. Apa gunanya ilmu itu? 


Allahuakbar. Letaklah niat setingginya untuk Allah. Pencipta aku dan kamu. Kejarnya dunia yang pasti kita meninggalkannya. Tidak dapat bawa ke kubur pun. Yang dapat jadi teman kita, amalan yang sahih, amalan yang ikhlas untukNya, itu sahaja dapat dibawa. Fikirkanlah.



Tiada istilah terlambat jika mahu berubah.

Tuesday 8 January 2019

ANGGARAN UPAH HAJI BADAL


Haji Badal adalah ibadat ganti yang dibenarkan oleh Islam untuk penganutnya bagi melengkapkan rukun Islam yang kelima. Bercakap tentang rukun, maka sesuatu tidak akan sempurna jika tidak memenuhi rukun tersebut. Sebagai contoh, jika ingin membina rumah, maka rukun rumah adalah tapak,tiang, dinding, pintu, atap dan lain-lain. Jika salah satu tidak lengkap, maka ia bukan sebuah rumah yang sempurna.

Untuk penulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang anggaran haji badal yang sering berulang setiap tahun. Berapakah anggaran yang sepatutnya untuk pembadal haji? Saya bahagikan kepada 3 golongan. 

Pertama : Pelajar. Anggarannya adalah antara SAR4000-SAR5000 (RM4500-RM5500). Kos pembelanjaan untuk pelajar agak tinggi. Pelajar yang belajar di Universiti Islam Madinah, Universiti Imam Muhammad Ibn Saud Riyadh, Universiti Raja Saud Riyadh dan lain-lain terpaksa membelanja kos penginapan, makanan, kenderaan yang hampir SAR 2000. Tambahan pula, jika haji yang dibadalkan adalah Haji Tamattu’ yang memerlukan Al-Hadi’ (binatang korban). Untuk golongan ini amat terhad dan pemberi badal haji lebih yakin kerana pemberi badal haji mengetahui empunya badan pembuat haji tersebut. Selalunya golongan ini bertemu secara langsung dengan ahli keluarga.

Kedua : Penduduk Makkah. Anggarannya adalah SAR2500-SAR3500. Kos pembelanjaan mereka tidaklah setinggi pelajar. Pemberi badal hendaklah mengenali pembuat haji tersebut sebelum menyerahkan upah haji. Saya bimbang jika pembuat haji mengambil ringan tentang aturcara ibadah haji. Saya pernah dengar cerita yang mana ada segelintir pembadal haji tidak membuatkan wajibat haji (bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan lain-lain) dan mereka hanya membayar dam sahaja. Itu adalah satu kekurangan yang amat menyedihkan lebih-lebih lagi jika ia berlaku untuk arwah keluarga kita. Tiada masalah untuk bagi penduduk Makkah, pastikan anda mengenali individu tersebut.

Ketiga : Tabung Haji atau melalui mana-mana Travel Haji. Anggarannya lebih kurang RM3500 seingat saya. Boleh rujuk Tabung Haji sendiri. Golongan ini amat terhad kerana mereka berikan kepada Staf yang bertugas pada musim haji. Pengalaman saya sendiri, tabung haji ada berikan juga kepada Penduduk Makkah dengan tapisan yang dibuat oleh Tabung Haji sendiri. Bagi yang kekurangan baget, boleh mohon dengan cara ini. Insya Allah selamat.

Sedikit perkongsian saya buat pembaca yang ingin mengetahui anggaran upah haji yang sepatutnya. Di sini saya ingin ingatkan kepada pemberi haji bahawasanya banner yang digantung di pagar masjid, di tiang api dan lain-lain adalah amat meragukan dan mungkin anda ditipu. Mana mungkin haji yang memerlukan mujahadah yang tinggi, wuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina yang amat menguji iman dan fizikal hanya diambil upah RM1500. Kos yang amat tidak logik dan tidak munasabah. Maka saya ingin ingatkan supaya berhati-hati ketika mewakilkan haji badal. Rakyat Arab Saudi juga terpaksa menghabiskan SAR6000-SAR10000 untuk satu ibadah haji, inikan pula upah haji badal yang amat kecil nilainya.

Akhir kalam, Ibadah haji yang diwakilkan untuk arwah sebaiknya mengambil yang terbaik supaya terjamin haji telah terlaksana. Apa guna haji dilakukan dengan kos yang rendah tapi hakikatnya haji badal tersebut tidak dilaksanakan. Berkorbanlah untuk ahli keluarga untuk cari yang terbaik. 

Nur Hafidz,
Pelajar ImamU,
8 Jan 2019

Monday 22 October 2018

Lembaran Baru - 1440 Hijrah

Assalamualaikum,

Syukur ke hadrat ilahi dengan rahmat dan kasih sayang Dia ke atas kita semua pada saat ini kita diberi peluang untuk teruskan kehidupan, mencari ilmu, mencari rezeki untuk hadapi kehidupan yang masih berbaki ini. 

Pada dasarnya saya menulis di dalam blog ini adalah perkongsian hidup. Namun, saat ini saya tukarkan niat itu kepada perkongsian maklumat yang dapat dipetik daripada kuliah, ceramah yang saya dengar. Inilah yang terbaik untuk diri ini dan pembaca. Adapun kisah hidup kita dan hidup anda sendiri, siapakah yang hendak ambil tahu sebenarnya? Mungkin ia adalah satu cerita yang mungkin menjadi satu teladan atau mungkin menjadi satu tauladan kepada orang lain.

Alangkah baiknya, kita menutup segala pintu yang membawa kepada fitnah diri sendiri. Fenomena menjatuhkan "izzah" diri sendiri semakin terjadi-jadi dalam masyarakat setelah alam maya muncul dalam alam dunia ini. Kata seorang Ilmuan, "kita sebenarnya bukan melalui satu alam tetapi 2 alam, alam dunia dan alam maya. Alam maya lebih bahaya. Fitnah terjadi terlalu cepat sehingga tidak terkawal". Semoga Allah menjaga kita semua.

Untuk kali ini, cukup sahajalah pendahuluan. InsyaAllah akan cuba untuk istiqomah menulis dan berkongsi. 

والله أعلم بالصواب.

Wednesday 24 January 2018

PERMOHONAN UNIVERSITI DI RIYADH

PERSATUAN PELAJAR MALAYSIA RIYADH (PPMRiyadh)

Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh terdiri daripada 3 universiti yang terbesar di Riyadh. Universiti Imam Muhammad Saud (ImamU), Universiti Raja Saud (KSU), Universiti Amirah Nuora (PNU) - Khusus utk Perempuan.

CARA PERMOHONAN

Utk permohonan kemasukan universiti di Arab Saudi tidaklah berbeza antara satu sama lain. Adakalanya dikurangkan dokumen tertentu atau ditambah mengikut keperluan universiti tersebut. Makluman untuk pemohon, segala permohonan adalah dengan mengisi secara “online” dan telah dimahsuhkan permohonan “by hand” iaitu mengisi borang secara manual. Waktu permohonan adalah berbeza antara universiti dan akan dimaklumi melalui laman web rasmi, twitter atau seumpamanya.

PENGIKTIRAFAN

Untuk tambahan tentang pengiktifan MQA hanyalah diberikan kepada 2 universiti iaitu Universiti Imam Muhammad Saud dan Universiti Raja Saud dalam bidang Pengajian Islam sahaja (Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab). Oleh itu, bidang pengajian selain daripada itu tidak diikiraf.

Adapun Universiti Amirah Noura belum diiktiraf. Banyak sebab sedemikian, antaranya ialah jumlah pelajar perempuan di sana sangat sedikit dan belum membuat urusan pengiktirafan MQA.

DOKUMEN YANG DIPERLUKAN

Universiti Imam Muhammad Saud (ImamU) :

1)    Sijil SPM atau setaraf yang disahkan.
2)    Terjemahan SPM atau setaraf dalam Bahasa Arab / Inggeris yang disahkan.**
3)    Surat Kelakuan Baik (Husnu Sirah wa Suluk) dalam Bahasa Arab.
4)    Medical Report dalam Bahasa Arab / Inggeris dan tidak lebih 3 bulan.
5)    Passport pemohon.
6)    Clearance Letter daripada Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT).
7)    Tazkiyah / Recommendation Letter pertama daripada mana individu atau institusi sah dalam negara pemohon.
8)    Tazkiyah / Recommendation Letter kedua daripada mana individu atau institusi sah dalam negara pemohon.

Pesanan : Sistem online yang digunakan oleh pihak universiti agak baru dan mempunyai banyak kekurangan. Jika adalah tambahan maklumat, kami akan maklumkan.

Universiti Raja Saud (KSU) :

1)    Sijil SPM atau setaraf yang disahkan.
2)    Terjemahan SPM atau setaraf dalam Bahasa Arab / Inggeris yang disahkan.**
3)    Surat Kelakuan Baik (Husnu Sirah wa Suluk) dalam Bahasa Arab.
4)    Medical Report dalam Bahasa Arab / Inggeris dan tidak lebih 3 bulan.
5)    Passport pemohon.
6)    Clearance Letter daripada Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT).
7)    Tazkiyah / Recommendation Letter pertama daripada mana individu atau institusi sah dalam negara pemohon.
8)    Tazkiyah / Recommendation Letter kedua daripada mana individu atau institusi sah dalam negara pemohon.

Pesanan : Permohonan universiti ini amatlah jarang dibuka dan bilangan kouta pelajar amatlah sedikit. Jika ada peluang memohon, maka isilah secepat mungkin.

Universiti Amirah Noura (PNU):

1)    Sijil SPM atau setaraf yang disahkan.
2)    Terjemahan SPM atau setaraf dalam Bahasa Arab / Inggeris yang disahkan.**
3)    Transkrip Markah SPM atau setaraf yang disahkan.*
4)    Terjemahan Transkrip SPM atau setaraf dalam Bahasa Arab / Inggeris yang disahkan.*
5)    Surat Kelakuan Baik (Husnu Sirah wa Suluk) dalam Bahasa Arab.
6)    Surat Kelakuan Baik (Husnu Sirah wa Suluk) dalam Bahasa Inggeris.
7)    Medical Report dalam Bahasa Arab / Inggeris dan tidak lebih 3 bulan.
8)    Passport pemohon.
9)    Surat Persetujuan Kerajaan Permohon daripada Kementerian Luar Negara dalam Bahasa Arab dan tidak lebih 6 bulan.**
10) Surat Persetujuan Kerajaan Permohon daripada Kementerian Luar Negara dalam Bahasa Inggeris dan tidak boleh lebih 6 bulan.
11) Clearance Letter daripada Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT).
12) Tazkiyah / Recommendation Letter pertama daripada mana individu atau institusi sah dalam negara pemohon.
13) Tazkiyah / Recommendation Letter kedua daripada mana individu atau institusi sah dalam negara pemohon.
14) Salinan IC / Iqomah Mahram Pemohon.

*No 3 dan No 4 boleh diisi jika pemohon memilikinya. Jika tiada, isi ruang tersebut sama seperti No 1 dan No 2.
**Pemohon perlu membuat terjemahan di ITBM.

Pesanan : Segala penambahan terkini yang dibuat di laman web rasmi akan dimaklumkan semula.

MAKLUMAT TERKINI TENTANG PENERIMAN PELAJAR

Pihak PPMRiyadh sudah sedaya upaya mencari maklumat tentang kemasukkan pelajar ke universiti di Riyadh. Penerimaan pelajar di Universiti Imam Muhammad Saud telah terhenti sejak 2 tahun lalu. Penerimaan terakhir adalah akhir tahun 2016 dan telah naik nama sebanyak 8 orang. Namun, sampai sekarang 8 orang tersebut belum dapat visa daripada Kerajaan Arab Saudi. Inikan pula penerimaan 100 orang dijanjikan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi ketika membuat sesi temuduga di Malaysia. Kita mengharapkan agar penerimaan tersebut menjadi kenyataan.

Disediakan oleh :

Muhammad Nur Hafidz bin Abd Nasir
Admin Page PPMRiyadh
Sesi 2017/18.

Monday 11 April 2016

Halangan Dalam Menuntut Ilmu

Antara punca-punca halangan tersebut ialah penuntut ilmu terlalu mengikut arus perdana dan membiarkan diri tanpa prinsip yang jelas. Oleh itu, bab inilah yang membezakan penuntut ilmu ketika mengharungi hidup mereka diantara melampaui batas atau kecuaian atau pertengahan dan kedua terawal adalah salah.

Sesungguhnya ketika menuntut imu itu sendiri, sepatutnya seseorang  mengetahui kedudukan dirinya sendiri. Kamu tidak akan mampu untuk mengatasi ujian dan dugaan yang berlaku ke atas diri kamu kecuali kamu menghadapinya dengan timbangan syarak.

Berkata Penyair : والشــــرع ميزان الأمـــــــور كلهـــــــا  #  وشـــاهد لفـــرعها وأصلهـــا 
"Syarak adalah timbangan urusan keseluruhannya dan lihatlah pada cabang dan usulnya".

Adapun sesiapa yang menjauhkan diri daripada menuntut ilmu dan hafazan, mengosongkan kerana mengikuti majalah-majalah semata-mata dan mengisi segala usaha dan waktu untuk membacanya. Kemudian mengambil menyelesaian fatwa-fatwa dalam pandangan yang sedikit tanpa merujuk kepada ulama'. Inilah orang yang telah kerugian. Tidak akan diketahui kadar kerugian kecuali selepas berlalu waktunya.

Sepertimana berkata penyair : إذا أنــــت لم تزرع وأبصرت حــاصدا  #  ندمت علــى التفــريط في زمـــن البذر 
"Apabila kamu tidak bercucuk tanam dan melihat manusia menuai hasil mereka, maka kamu akan menyesal atas pengabaian pembaziran masa yang telah berlalu ".

Dengan apa yang berlaku kamu memprotes dan mengecam diri sendiri ketika melihat syabab dalam kalangan syabab islam dan cemburu atas perbuatannya menjauhi perkara yang diharamkan oleh Allah (yang menyedari terlebih awal). Ketika itu, menitis air mata dan darah atas perbuatan perkara haram yang telah dicabulinya sebelum ini. Pada hakikatnya itulah adalah satu keaiban dan kekurangan diri. Tolong menolong sebahagian pemaksiat seperti mengumpat dan mengadu domba dan selainnya. Kamu akan melihatnya sebagai orang jahil dalam semudah-mudah ilmu-ilmu agama. Mereka tidak solat seperti solat nabi.  Bersabda Nabi S.A.W. "Solatlah kamu semua sepertimana kamu melihat aku solat".

Mereka tidak berwuduk seperti wuduk nabi yang mana disabdakan Nabi S.A.W. "Sesiapa yang berwuduk sepertimana yang disuruh dan solat seperti seperti di suruh, ampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu".

Kamu akan melihat mereka yang jahil dalam tidak melakukan zikir pagi dan petang. Kamu akan lihat mereka cuai dalam menjaga perkara-perkara tuntutan sewaktu kecil. Maka inilah yang menjadi satu cabang masuk bagi syaitan untuk memperdayainya. Sesungguhya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah - Rahimahullah Taala - dikenali ramai tentang kedudukannya. Beliau lebih mengetahui apa yang berlaku dalam kalangan manusia disekelilingnya. Telah berlaku pada zamannya fitnah, musibah dan pertembungan. Akan tetapi beliau cuba menuntut ilmu dan mendapat ilmu sebanyak yang mungkin. Begitulah, menjadi usahanya dalam menyelesaikan permasalahan  yang telah berlaku dalam masyarakatnya. Mengetahui jawapan tentang permasalahan dalam Quran dan Hadith atau dalam usul ilmu serta kaedah-kaedahnya. Walaubagaimanapun yang terjadi ketika itu, perselisihan manusia dan memisahkan titik persamaan yang timbul, tidak dijadikan Allah sesuatu penyakit kecuali ada ubatnya. Tidak turun musibah atau pertembungan kecuali Quran dan Hadith yang menyelesaikannya. Ketahuilah bahawa perkara ini tidak bercanggah dan selari dengan akal manusia.

...........................

@MNH 110416 Terjemahan : معالم في طريق طلب العلم. الصفحة ٢٣-٢٤.

Friday 1 April 2016

Penghalang Utama Penuntut Ilmu : Rosaknya Niat

Sesungguhnya niat adalah rukun amalan dan asasnya. Apabila diselubungi niat itu dengan kerosakkan, maka sesungguhnya amalan itu ditimpa dengan kehancuran dan kerosakkan juga dengan kadar apa yang diniatkan.

Telah bersabda Nabi S.A.W. : ((إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرىء ما نوى)). "Sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat, dan setiap sesuatu itu mengikut apa yang diniatkan".

Maka niat rukun sepermana berikut :

والبيت لا يبتنـــى إلا بأعـــــــمدة # ولا عمـــــاد إذا لــــم تبن أركن

"Rumah itu tidak terbina tanpa tiang. Tidak ada tiang apabila tiadanya rukun-rukun".

Apabila niat itu yang disertai dengan sesuatu ternoda atas perselisihan jenisnya daripada cinta kemasyhuran atau cinta kepopularan atau ketinggian kedudukan. Maka sesungguhnya inilah penyebab yang menghalang seseorang dalam keikhlasan niat.

Niat itu mengikut apa yang diniatkan, akan tetapi ((والذين جهدوا فينا لنهينهم سبلنا وإن الله لمع المحسنين)). "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." - Al-Ankabut : 69.

Imam Sufyan Al-Thauri - Rahimahullahu - atas waraknya dan kemuliaannya berkata : ((ما عالجت شيئا أشد عليّ من نيتي)). "Tiada ada yang telah aku mengubati/menjaga lebih dahsyat melainkan niatku".

Imam Al-Thauri berkata sedemikian untuk dirinya, apatah lagi kita? Oleh itu, sepatutnya ke atas kita membuat sepertimana ulama'-ulama' buat dan tidak terkecuali sesiapapun dalam menuntut ilmu. Kita hanyalah mengharapkan keredhaan Allah Taala. Jikalau niat seseorang sama dengan niatnya orang terkena bisikan syaitan, maka itu bukanlah perkara yang pelik. Akan tetapi yang menjadi kepelikkan dan kehairanan apabila seseorang itu terus menerus dalam niat yang rosak. Maka kelaziman ke atasnya supaya bersungguh-sungguh dalam membaiki niat, menghalang kerosakkan dan kenodaan niatnya sekadar yang termampu. Janganlah merasa lemah dan berputus asa. Maka bacalah apa yang diperingatkan oleh ahli ilmu ke atas diri mereka; Addarukhotni Abu Hassan Ali Ibnu Umar, Amirul Mukminin dalam hadith, beliau berkata : (طلبنا العلم لغير الله فأبى أن يكون إلا الله). "Jika kami menuntut ilmu bukan kerana Allah, maka tertolaklah. Menuntut ilmu hanya kerana Allah".

Ditafsirkan sebahagian ulama' kata-kata ini : ٍٍSesungguhnya penuntut ilmu telah menjadikan kebahagiaan dalam dirinya dengan kecintaan di hapadannya. Apabila mendalami ilmu dan membaca teks atau suatu bacaan, dia mentekuni bacaannya. Jika sesiapa Allah inginkan ke atas seseorang itu kebaikan, Allah akan berikan kepadanya petunjuk. Tidak bertambah ketekunan ketika menteliti menuntut ilmu kecuali kembali kepadanya kebaikan dan ganjaran pahala. Adapun, apabila seseorang itu diselubungi oleh hawa nafsunya dan mengikut segala nafsunya, maka tidak dicela kecuali dirinya sendiri.

Terjemahan : معـــــلم في طريق طــــلب العــــلم / الصفحة : 17-18

@MNH 010416

Saturday 26 March 2016

Keabaian Dalam Menuntut Ilmu Ketika Kecil

Sesungguhnya seseorang manusia akan mencemburi insan lain yang lebih muda dan tua dalam keazamannya dalam menuntut ilmu. Mereka ini didapati dalam halaqoh-halaqoh ilmu. Manusia mencemburi dan menyesal atas masa-masa yang telah berlalu pergi. Mereka tidak menyibukkan diri dengan menuntut ilmu dan hafazan. Tatkala mereka membesar dan bertambah pula kesibukkan dan tanggungjawab ke atas dirinya malam dan siangnya. Perubahan hidupnya secara automatik berubah. Tidak mampu untuk bersedia untuk mendapat ilmu sepertimana dia kecil dahulu, bebas daripada sebarang kesibukkan. 

Berkata Hasan Al-Basri : ((طلب الحديث في الصغر كالنقش في الحجر)). "Menuntut ilmu ketika kecil seperti mengukir di batuan". 

Berkata Umar Al-Khattab Radhiyallahu A'nhu : ((تفقهوا قبل أن تسودوا)). "Belajarlah kamu semua sebelum kamu memimpin". 

Berkata Abu Abdullah Al-Imam Al-Bukhari : ((وبعد أن تسودوا، وقد تعلم أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم في كبر سنّهم)). "Walaupun selepas kamu memimpin, maka ketahuailah para sahabat Nabi S.A.W menuntut ilmu ketika mereka sudah berumur".

*Maksud memimpin di sini atas adalah tanggungjawab yang dipikul. Sebagai contoh, ayah, boss, mudir dan sebagainya.

Wahai saudaraku bersegeralah. Sebelum kamu diuji dengan manusia. Sebelum kami diuji dengan banyaknya kesibukkan. Sebelum kamu menyesal seperti menyesalnya kebanyakkan manusia. Untuk kamu wahai saudaraku, bersibukkan waktu kecilmu dengan menuntut ilmu. Ini tidak bermakna insan-insan berasalan untuk hilang semangat dan terus berputus asa setelah berlalu masa kecil mereka dalam menuntut ilmu, bahkan sesungguhnya seluruh umur adalah masa untuk menuntut ilmu. Kerana apa? Kerana ia adalah ibadat. Allah berfirman : ((واعبد ربك حتى يأتيك اليقين)). "Beribadatlah kepada Tuhan kamu sehingga datangnya mati".

..............................................

Terjemahan : معالم في طريق طلب العلم. الصفحة :22.

@MNH 260316