Friday 24 January 2020

Betulkan Niat Belajar.

Berdasarkan tajuk yang aku tulis. Itulah nasihat utama yang diberikan oleh sheikh-sheikh kami di kuliah Syariah pada minggu awal semester. Bukan semua tapi kebanyakkan sheikh akan nasihat anak muridnya tentang niat belajar. Niat yang sebenar adalah sumber utama atau tunjang sepanjang perbuatan kita dalam kehidupan seharian. Niat yang rosak akan menghasilkan natijah yang rosak dan begitu juga niat yang baik menghasilkan natijah yang baik. 

Belajar. Ia bukan satu perbuatan yang sia-sia. Tidak betul jika orang mengatakan belajar itu menghabiskan duit malah terpaksa berhutang lagi di sini sana. Lebih-lebih lagi pendidikan kita di Malaysia. Sedikit atau banyak kita dibebankan dengan kos. Tetapi, pemahaman sedemikian patut dibetulkan. Belajar satu proses pembangunan diri, sahsiah dan akhlak, hasil yang lebih baik, dan sudah tentu ia membezakan antara orang berilmu dengan orang yang jahil.

Orang belajar bertuankan ilmu dan tempat bersandar yang tepat tanpa tersasar jauh. Beza si jahil, dia akan bertuankan nafsu dan fikiran yang terhad. Apa yang dia berasa betul, itulah yang akan dia lakukan. Oleh sebab itulah, guruku selalu berpesan. Apakah tujuan kamu belajar? Datang jauh meninggalkan tempat tinggal. Lebih-lebih lagi yang berada luar negara. Masa yang dikorbankan. Jiwa raga yang sering mengeluh kesepian tatkala berjuahan dengan keluarga. Yang sudah berkahwin apatah lagi.

Kembali kepada nasihat guruku tentang niat belajar. Kata guruku, "ilmu itu rasa takut, rasa takut kepada Allah. Belajar untuk mengenal Tuhan. Apa yang Dia suruh, apa yang Dia larang. Bagaimana nak tingkatkan rasa cinta kepadaNya? Bagaimana hendak beramal dengan apa yang disuruh?...". Poin utama ialah belajar itu untuk menanam rasa takut kepada Pencipta. Hatta kalau kita belajar setinggi langit pun, tanpa rasa takut kepada Tuhan. Apa erti ilmu? Tiada mamfaat sedikit pun kepada tuan badan. Sebagai contoh seseorang itu tahu yang zina itu haram tetapi rasa takut tidak ada dalam diri, lalu terjebak dalam dosa itu sedangkan dia tahu besarnya dosa zina. 

Apa orang belajar untuk mengejar pointer 5.0, 4.0 dan sebagainya. Hendaknya paling terbaik. Tidak salah pun untuk mendapatkan pointer tersebut. Aku sendiri tahu untuk dapat yang terbaik bukan mudah tetapi kesan daripada ilmu itu mahu dilihat juga. Paling tidak jika kita dapat yang terbaik, kemungkinan dapatlah kerja yang bagus, tetapi akhlak kelaut dek silapnya dalam menuntut ilmu. Tiada penghayatan. Tiada tujuan untuk yang hakiki iaitu akhirat. Apa gunanya ilmu itu? 


Allahuakbar. Letaklah niat setingginya untuk Allah. Pencipta aku dan kamu. Kejarnya dunia yang pasti kita meninggalkannya. Tidak dapat bawa ke kubur pun. Yang dapat jadi teman kita, amalan yang sahih, amalan yang ikhlas untukNya, itu sahaja dapat dibawa. Fikirkanlah.



Tiada istilah terlambat jika mahu berubah.