Tuesday 8 January 2019

ANGGARAN UPAH HAJI BADAL


Haji Badal adalah ibadat ganti yang dibenarkan oleh Islam untuk penganutnya bagi melengkapkan rukun Islam yang kelima. Bercakap tentang rukun, maka sesuatu tidak akan sempurna jika tidak memenuhi rukun tersebut. Sebagai contoh, jika ingin membina rumah, maka rukun rumah adalah tapak,tiang, dinding, pintu, atap dan lain-lain. Jika salah satu tidak lengkap, maka ia bukan sebuah rumah yang sempurna.

Untuk penulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang anggaran haji badal yang sering berulang setiap tahun. Berapakah anggaran yang sepatutnya untuk pembadal haji? Saya bahagikan kepada 3 golongan. 

Pertama : Pelajar. Anggarannya adalah antara SAR4000-SAR5000 (RM4500-RM5500). Kos pembelanjaan untuk pelajar agak tinggi. Pelajar yang belajar di Universiti Islam Madinah, Universiti Imam Muhammad Ibn Saud Riyadh, Universiti Raja Saud Riyadh dan lain-lain terpaksa membelanja kos penginapan, makanan, kenderaan yang hampir SAR 2000. Tambahan pula, jika haji yang dibadalkan adalah Haji Tamattu’ yang memerlukan Al-Hadi’ (binatang korban). Untuk golongan ini amat terhad dan pemberi badal haji lebih yakin kerana pemberi badal haji mengetahui empunya badan pembuat haji tersebut. Selalunya golongan ini bertemu secara langsung dengan ahli keluarga.

Kedua : Penduduk Makkah. Anggarannya adalah SAR2500-SAR3500. Kos pembelanjaan mereka tidaklah setinggi pelajar. Pemberi badal hendaklah mengenali pembuat haji tersebut sebelum menyerahkan upah haji. Saya bimbang jika pembuat haji mengambil ringan tentang aturcara ibadah haji. Saya pernah dengar cerita yang mana ada segelintir pembadal haji tidak membuatkan wajibat haji (bermalam di Muzdalifah, bermalam di Mina dan lain-lain) dan mereka hanya membayar dam sahaja. Itu adalah satu kekurangan yang amat menyedihkan lebih-lebih lagi jika ia berlaku untuk arwah keluarga kita. Tiada masalah untuk bagi penduduk Makkah, pastikan anda mengenali individu tersebut.

Ketiga : Tabung Haji atau melalui mana-mana Travel Haji. Anggarannya lebih kurang RM3500 seingat saya. Boleh rujuk Tabung Haji sendiri. Golongan ini amat terhad kerana mereka berikan kepada Staf yang bertugas pada musim haji. Pengalaman saya sendiri, tabung haji ada berikan juga kepada Penduduk Makkah dengan tapisan yang dibuat oleh Tabung Haji sendiri. Bagi yang kekurangan baget, boleh mohon dengan cara ini. Insya Allah selamat.

Sedikit perkongsian saya buat pembaca yang ingin mengetahui anggaran upah haji yang sepatutnya. Di sini saya ingin ingatkan kepada pemberi haji bahawasanya banner yang digantung di pagar masjid, di tiang api dan lain-lain adalah amat meragukan dan mungkin anda ditipu. Mana mungkin haji yang memerlukan mujahadah yang tinggi, wuquf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina yang amat menguji iman dan fizikal hanya diambil upah RM1500. Kos yang amat tidak logik dan tidak munasabah. Maka saya ingin ingatkan supaya berhati-hati ketika mewakilkan haji badal. Rakyat Arab Saudi juga terpaksa menghabiskan SAR6000-SAR10000 untuk satu ibadah haji, inikan pula upah haji badal yang amat kecil nilainya.

Akhir kalam, Ibadah haji yang diwakilkan untuk arwah sebaiknya mengambil yang terbaik supaya terjamin haji telah terlaksana. Apa guna haji dilakukan dengan kos yang rendah tapi hakikatnya haji badal tersebut tidak dilaksanakan. Berkorbanlah untuk ahli keluarga untuk cari yang terbaik. 

Nur Hafidz,
Pelajar ImamU,
8 Jan 2019

No comments:

Post a Comment